Wednesday 4 September 2013

PEMBANGUNAN TERBANTUT JIKA KERAJAAN TERUS TANGGUNG SUBSIDI, KATA AHMAD SHABERY



Oleh: Mohd Farhan Darwis



Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) mengatakan pembangunan negara mungkin terbantut sekiranya rakyat mahukan segala subsidi terus ditanggung kerajaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu walaupun banyak pihak yang membantah kenaikan harga minyak, kerajaan terpaksa mengambil tindakan sedemikian bagi memikirkan masa depan negara.

"Saya akui tiada yang suka dengan kenaikan harga minyak. Adik-beradik saya pun memberontak ... kenaikan minyak bukan kerajaan yang naikkan. Ia harga minyak pasaran," katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan enam tahun Radio 24 Bernama di Shah Alam di sini.

"Kita katakan mahu tak mahu kita perlu berhadapan dengan suasana geo politik," katanya merujuk kepada pergolakan di Syria dan juga kemungkinan Amerika Syarikat akan menyerang negara Teluk tersebut sebagai faktor kenaikan harga minyak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menegaskan, kenaikan RM0.20 harga minyak RON95 dan Diesel bukanlah ditentukan kerajaan sebaliknya peningkatan itu adalah disebabkan pengurangan tanggungan subsidi RM0.83 kepada RM0.63 sen kerajaan bagi membolehkan pembangunan infrastruktur dilaksanakan kerajaan.

"Kerajaan perlu serap kemarahan rakyat. Kalau tidak kita akan guna subsidi bukan orang susah sahaja dapat, orang kaya pun dapat," katanya, dan menambah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah contoh terbaik bantuan subsidi yang sampai kepada penerima yang layak.

Beliau bagaimanapun mengingatkan tanggungjawab kerajaan adalah untuk mengawal harga barang ekoran berlaku kenaikan harga minyak.

"Tanggungkawab kerajaan untuk kawal harga barang keperluan, bukan barangan mewah ... Inflasi tetap ada, tetapi bagaimana kita nak kawal. Itu yang pentingnya," katanya lagi.

"Saya tahu rakyat ramai meronta, dan sukar untuk kita  katakan bersabar."

"Kita akan terangkan dan terangkan apa kerugian yang akan kita tanggung, banyak duit rakyat kita gunakan untuk subsidi," jelasnya.

Putrajaya semalam mengumumkan kenaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.

Langkah tersebut mendapat sokongan pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang kerajaan yang semakin meningkat, iaitu ketika ini berada pada paras 53.5 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada hujung tahun lalu.

Sejurus pengumuman semalam, orang ramai bergegas dan memenuhi stesen minyak serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah kerajaan tersebut.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel adalah naik pada tahun 2010, mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment