Saturday 1 November 2014

BUKTI DNA TIDAK DIUSIK, KATA PENDAKWA DALAM RAYUAN KES ANWAR




Peguam pendakwa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mempertahankan pegawai penyiasat Jude Pereira dalam pengurusan sampel DNA. 

Pihak pendakwa kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas hujah peguambela  mempertikaikan integriti bukti DNA yang membebaskan ketua pembangkang itu daripada hukuman di peringkat perbicaraan.






Peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pendakwaan berkata, hakim perbicaraan silap apabila membebaskan Anwar berdasarkan keraguan bukti DNA tidak dikendalik‎an dengan baik oleh polis penyiasat.
Shafee berkata, walaupun bungkusan plastik luar sampel dibuka, kandungan sampel didalam tiub tidak terusik.

Katanya, pegawai penyiasat Jude Pereira membuka bungkusan itu kerana beliau tidak nampak sebarang tanda dalam tiub dan mahu meletakkannya ke dalam sampul berlainan dan membuat tanda label.

Proses itu adalah prosedur biasa mengikut arahan ketua polis, kata Shafee.
Sampel itu berasal daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang diperoleh Jude daripada doktor Hospital Kuala Lumpur semasa menjalankan pemeriksaan terhadap bekas pembantu Anwar itu.

Anwar dituduh meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di sebuah unit kondominium di ‎Bukit Damansara.

Pendakwa dalam hujah berkata, Jude tidak berniat mencemarkan sampel itu dan tidak membuka tiub walaupun boleh berbuat demikian. Peguambela sebelum ini membangkitkan keputusan hakim perbicaraan mengenai bukti DNA yang meragukan.

Hari ini ialah hari keempat perbicaraan yang akan bersambung minggu depan. Semalam, peguambela Ramkarpal Singh berhujah bahawa tindakan Jude tidak men‎gikut prosedur apabila membuka bahan bukti yang dibungkus.

Beliau mendakwa pegawai polis itu berbohong apabila mengatakan tidak ada pencemaran bukti.
Hari ini, Shafee berkata kerosakan mungkin berlaku jika profil DNA lain dimasukkan, tetapi membangkitkan persoalan kemampuan Jude mendapatkan sperma lain‎ kepada lima panel hakim.

"Adakah dia pergi ke bank sperma? Bagaimana mahu mendapatkan air mani baru yang hanya kira-kira 60 jam tempohnya," Shafee bertanya kepada ‎mahkamah. Katanya, ahli kimia yang menerima sampel daripada Jude mengesahkan bungkusan dalam tiub masih tidak terusik.



Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan pantas meninggalkan pemimpin PKR lain ketika menyambut penyokongnya di luar mahkamah di Putrajaya, tengah hari tadi. 

Hujahnya, Jude bersikap jujur dan disebabkan itu tidak ada pemeriksaan soal balas ter‎hadap pegawai polis itu. Pihak pendakwa tidak meletakkan Jude sebagai saksi yang merosakkan bukti itu, tetapi berbuat demikian selepas itu, katanya kepada Mahkamah Persekutuan.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tingi, Jude tidak menafikan sampel itu disimpan di dalam almari peti besi tanpa kemudahan mengawal suhu, dan berkata penghawa dingin pejabatnya mampu mengekalkan kandungan sampel sentiasa sejuk. Peguambela sebelum ini berkata, tindakan Jude itu mampu merosakkan kualiti sampel. Shafee akan menyambung penghujahan pada Isnin.
Mahkamah melanjutkan pendengaran lebih dua hari berbanding jadual asal yang ditetapkan pada 28 dan 29 Oktober.

Anwar diwakili 14 barisan peguambela, diketuai hakim Mahkamah Persekutuan bersara, Daruk Seri Gopal Sri Ram. Rayuan itu didengar panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Anwar dibebaskan Mahkamah Tinggi pada Januari 2012 selepas melalui tempoh perbicaraan yang panjang. Ini merupakan kes liwat kedua yang dihadapi Anwar, selepas dilucutkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998, sebelum didakwa meliwat bekas pemandunya. Beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Kali ini, karier politik Anwar mungkin di penghujung jika mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan menerima permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman penjara dilanjutkan sehingga 20 tahun. (MALAYSIAN INSIDER)


* Laporan oleh Tarani Palani, The Edge Financial Daily.

No comments:

Post a Comment