Monday 17 November 2014

Najib ingatkan masyarakat Cina agar sensitif terhadap Melayu



Masyarakat Cina diingatkan agar sensitif terhadap orang Melayu seperti mana dilakukan orang Melayu terhadap kaum tersebut bagi memastikan Malaysia terus aman dan harmoni, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan masyarakat Cina agar sensitif terhadap orang Melayu seperti mana dilakukan orang Melayu terhadap kaum tersebut bagi memastikan Malaysia terus aman dan harmoni, lapor Utusan Malaysia.


Perdana menteri berkata, pentingnya kedua-dua kaum itu termasuk kaum lain memiliki sikap “mutual respect” atau saling hormat-menghormati antara satu sama lain berdasarkan kepada tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial, lapor akhbar milik Umno tersebut.

Najib berkata, Malaysia percaya kepada konsep kepelbagaian serta integrasi kaum dan bukannya asimilasi, khususnya kaum Cina yang diberikan hak mengamalkan budaya, identiti, sekolah dan bahasa ibunda mereka.

“Sebagai pulangannya, kita mahu mereka (kaum Cina) memahami kepada keperluan bersatu dalam negara ini. Seperti mana kita (orang Melayu) sensitif tentang kaum Cina, masyarakat Cina juga perlu sensitif terhadap orang Melayu, itu kita rujuk kepada mutual respect (hormat-menghormati),” kata Najib di Kota Kinabalu, Sabah semalam seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

“Apabila kita ada mutual respect, akan wujud negara yang aman dan harmoni. Kita mungkin tidak perlu kepada satu undang-undang (Akta Keharmonian Nasional), kita perlu hormat-menghormati antara satu sama lain. Tentu juga kita perlu kepada undang-undang, tetapi pentingnya atau amat penting kepada nilai-nilai keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Menurut Utusan Malaysia, Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menutup Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam.

Najib berkata, masyarakat Cina yang sering mengadu soal kepentingan mereka di negara ini khususnya dalam soal pendidikan perlu melihat negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang langsung tidak ‘membuka’ sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negara berkenaan.

“Di Singapura pun, tiada sekolah Cina. Cuma di Malaysia saja ada sekolah Cina. Itu konsensus yang dibuat oleh pemimpin kita terdahulu yang dipimpin oleh Umno. Ini kerana kita percaya kepada konsep kepelbagaian kaum. Tetapi perlulah ada give and take (tolak ansur), taat setia kepada negara ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu. Najib turut mengulangi komitmen Barisan Nasional (BN) untuk terus membenarkan sekolah dan pendidikan Cina “bertapak” di negara ini.

“Tetapi, apa salahnya diberikan penekanan kepada mempelajari bahasa kebangsaan? Meletakkan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu dengan fasih, bukannya bahasa pasar. Saya perlu beritahu semua, semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Beijing, China, baru-baru ini, kerajaan China memberikan saya pegawai perhubungan yang fasih dalam bahasa Melayu.

“Para pegawai China di pejabat luar negara di sana mempelajari bahasa Melayu. Dan jika kamu (masyarakat Cina) menekankan pembelajaran bahasa kebangsaan di sekolah Cina dan orang Melayu pula belajar bahasa Mandarin, apa salahnya?

“Inilah, bidang pendidikan tidak perlu dipolitikkan, pendidikan bukannya politik. Pendidikan merupakan alat untuk membina identiti bangsa. Kita perlu elak daripada mempolitikkan pendidikan. Jadikan pendidikan untuk membina kekuatan dan perpaduan Malaysia,” katanya.


Menurut Utusan Malaysia, Najib juga mengingatkan semua parti termasuk Umno supaya mengenepikan ekstremisme, sebaliknya mengamalkan sikap kesederhanaan. (THE MALAYSIAN INSIDER)

No comments:

Post a Comment