Friday 21 November 2014

PATI: Tiada ahli politik atau orang dalam terlibat



Jabatan Imigresen mengesahkan siasatan mendapati kes kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana ahli politik mahupun 'orang dalam' Jabatan Imigresen.


Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata ini mendapati mereka dibawa masuk oleh ejen haram melalui jalan tikus iaitu jalan laut atau darat.

Beliau berkata jalan tikus yang digunakan oleh PATI adalah laluan yang tidak digazetkan sebagai pintu masuk yang dikawal Jabatan Imigresen.

"Jalan-jalan tikus ini adalah di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen kerana ia dikawal oleh agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti tentera, polis, Unit Pencegah Penyeludupan dan Unit Tindakan Khas," katanya kepada Bernama.

Sakib juga berkata setakat ini tidak ada sebarang bukti mengaitkan pembabitan ahli politik dan 'orang dalaman" jabatan itu dalam isu ini.

"Bagaimanapun jika terbukti, mereka boleh ditahan dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010)(ATIPSOM).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembabitan ahli politik dan orang dalaman Jabatan Imigresen dalam isu pendatang asing di negara ini, terutamanya berhubung pencerobohan tanah di Cameron Highlands, Pahang.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 451 majikan dan 26,785 PATI ditahan sejak Januari hingga 17 November tahun ini menerusi 4,893 operasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Ahmad Zahid turut memberitahu operasi untuk memburu PATI akan selalu dilaksanakan secara konsisten dalam usaha membanteras kehadiran mereka.

Sakib Berkata pihaknya akan mengambil data-data peribadi PATI untuk diletakkan dalam sistem biometrik bagi memastikan mereka yang diusir keluar tidak memasuki semula ke negara ini.

"Sistem biometrik ini dapat mengesan dan mengesahkan kemasukkan semula PATI ke negara ini, tetapi jika PATI masuk melalui pintu yang tidak diwartakan, maka sukar untuk kita mengesan," katanya.


- Bernama

No comments:

Post a Comment