Sunday 16 November 2014

PM: Laporan RCI Sabah dibentang Disember



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu mengumumkan bahawa laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah akan diumumkan awal bulan depan.

Najib berkata keputusan untuk membentangkan laporan RCI itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Jumaat.

"Saya bersetuju dengan saranan supaya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah mengetuai jawatankuasa untuk memperhalusi tindakan-tindakan daripada laporan berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadzandusun Murut Bersatu (Upko) di Kota Kinabalu Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Datuk Seri Musa Aman, Pemangku Presiden Upko Datuk Madius Tangau dan Presiden Kehormat Upko Tan Sri Bernard Dompok.

Baru-baru ini, beberapa parti komponen BN di Sabah mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas yang dibentuk dalam BN Sabah mengenai PATI yang dipengerusikan Pairin diaktifkan semula.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012. Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J Luping.

Najib berkata keputusan kerajaan untuk membentangkan laporan RCI berkenaan adalah bukti keikhlasan kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan dan percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan melalui prinsip setiakawan dalam parti.

Menurut Najib beliau juga mengambil berat mengenai agama dan akan berlaku adil kepada semua penganut agama di negara ini berdasarkan 10 perkara yang dipersetujui kabinet sebelum ini.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan membuat keputusan memulangkan semula bahan-bahan agama yang ingin dibawa ke Sabah namun dirampas pihak kastam di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur awal tahun ini, kepada pemiliknya.

Bernama

No comments:

Post a Comment