Sunday 2 November 2014

ZAHID SALAHKAN KASTAM RAMPAS BAHAN KRISTIAN BAGI SABAH, SARAWAK



Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahan-bahan yang dirampas di klia2 perlu dikembalikan semula daripada rampasan Jabatan Kastam. 


OLEH MUZLIZA MUSTAFA


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyalahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana merampas bahan Kristian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sabtu lalu.



Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri itu mahu penyelarasan yang lebih baik antara penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.
"Rampasan itu tidak dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia tindakan Jabatan Kastam semasa urusan masuk dan keluar di klia2.


"Pada pendapat kementerian ini, bahan itu hendaklah dikembalikan kerana ia dimaksudkan untuk pengedaran di Sabah dan Sarawak," kata Zahid. Kastam merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Berikutan bantahan yang dibuat ekoran rampasan itu, KDN semalam berkata buku-buku dan cakera padat (CD) Kristian yang mengandungi perkataan Allah itu akan dikembalikan kepada paderi dari Sabah yang berkenaan kerana ia bagi kegunaan di Sabah.

Ketua Bahagian Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar memberitahu The Malaysian Insider, pemiliknya Maklin Masiau, sudah dihubungi dan barangan itu akan dikembalikan kepadanya.

Beliau berkata semalam, barangan itu dirampas Kastam kerana suspek yang membawa buku itu tidak mempunyai permit sah bagi penerbitan import, di mana ia merupakan prosedur biasa bagi mana-mana terbitan buku luar di bawa masuk dalam negara. Katanya, jika seseorang individu hanya membawa satu atau dua buku, Kastam tidak akan membuat penahanan.

"Tetapi dia membawa 574 buku dan 419 CD dalam lima ke enam kotak dan memang biasanya pegawai Kastam akan membuat pemeriksaan." Katanya, buku dan CD tersebut kini berada pada KDN di lapangan terbang dan mereka mengesahkan ia dibawa masuk bagi kegunaan pemiliknya.

"Jika beliau datang kepada kita untuk melihat barangan yang dirampas, kita akan memeriksa dan memulangkannya dan beliau boleh membawanya ke Sabah”.

"Tetapi dalam kes ini, beliau balik ke Sabah tanpa merujuk kepada kami," katanya, menambah Masiau diberitahu kos memulangkan kembali barangannya ke Sabah ditanggung olehnya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata dalam kenyataannya hari ini terdapat usaha dilakukan untuk memastikan buku Kristian dan CD dipulangkan kepada pemilik. (MALAYSIAN INSIDER)


No comments:

Post a Comment