Thursday 11 December 2014

K'jaan mahu duta AS beri penjelasan



Kerajaan memanggil duta Amerika Syarikat ke Malaysia Joseph Yun untuk menjelaskan kenyataannya dalam satu wawancara yang disiarkan Malaysiakini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kenyataan berhubung keputusan Malaysia untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak wajar dan mengecewakan negara ini.

Anifah juga berkata, akta berkenaan digunakan sebagai langkah pencegahan untuk membendung ketegangan agama dan kaum.

"Akta Hasutan 1948 tidak menyekat semangat demokrasi. Akta itu hanyalah langkah pencegahan bagi memastikan tiada pihak yang membangkitkan ketegangan agama atau kaum yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan negara,” kata Anifah.

Dalam kenyataannya itu, beliau berkata Malaysia juga mahu AS tidak masuk campur dalam urusan negara ini.

Katanya, kerajaan Malaysia berhak mengekalkan Akta Hasutan dan komen dari mana-mana pihak luar dianggap sebagai tindakan campur tangan.

Dalam wawancara itu, Yun membangkitkan kebimbangan sekiranya keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan akan membangkitkan isu hak asasi.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu mengemukakan alasan yang baik sekiranya ingin bertindak menukar pendirian ke pemansuhan Akta Hasutan kerana akan melibatkan isu seperti itu.

Dalam tempoh beberapa bulan lalu, akta berkenaan sebelum ini digunakan dalam tindakan ke atas ahli politik pembangkang, aktivis dan juga seorang wartawan. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment