Friday 12 December 2014

Mahkamah ketepi saman balu PI Bala terhadap PM



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan saman RM1.9 juta yang difailkan oleh balu P Balasubramaniam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan tujuh yang lain.
 
Hakim Datuk Hasnah Mohamed Hashim berkata A Santamil Selvi tidak mempunyai locus standi (kedudukan undang-undang) untuk memfailkan saman itu, kerana beliau tidak memiliki surat dokumen pentadbir untuk menguruskan estet penyiasat persendirian itu.
 
Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Hasnah berkata, kenyataan tuntutan juga gagal menyatakan sebab yang munasabah untuk bertindak terhadap semua defendan dan dakwaan konspirasi.
 
Katanya, tidak ada keadaan khas untuk mendengar merit saman itu kerana plaintif tidak mempunyai locus standi

Ekoran itu, katanya, mahkamah membenarkan saman itu diketepikan.
 
Hakim Hasnah mempersoalkan mengapa mendiang Balasubramaniam (kiri) atau keluarganya tidak memfailkan saman itu semasa mereka tinggal dalam buangan, atau ketika mereka pulang ke tanahair tahun lepas.
 
"Dia atau keluarganya boleh memfailkan saman itu antara tahun 2008 dan 2013," katanya.
 
Santamil memfailkan saman itu pada bulan Jun tahun ini kerana beliau mesti memfailkannya sebelum 4 Julai, berikutan tempoh tamat untuk memfailkan saman dalam tempoh enam tahun.
 
Dalam akuan bersumpahnya yang pertama (SD), Balasubramaniam mengaitkan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 3 Julai 2008, tetapi menariknya balik dalam keadaan yang misteri pada hari berikutnya.
 
Mahkamah, bagaimanapun, tidak memutuskan sama ada tiga orang anak Santamil dengan Balasubramaniam mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu, kata peguam keluarga mereka, Americk Sidhu.

Hasnah turut memerintahkan Santamil membayar kos RM2,000 seorang kepada enam daripada sembilan orang defendan, termasuk Najib dan Rosmah.
 
Defendan yang tidak meminta kos adalah adik Najib, Ahmad Johari, yang juga seorang peguam, peguam kanan Datuk Cecil Abraham, dan anak lelaki Cecil, Sunil, juga seorang peguam.
 
Mereka yang meminta kos - selain Najib dan Rosmah - ialah adik Najib, Nazim (seorang arkitek); Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishan; dan peguam M Arulampalam, yang turut hadir di sidang akhbar kedua berikutan SD kedua.
 
Ketika ditemui selepas prosiding itu, Americk berkata beliau akan memfailkan rayuan ekoran keputusan hari ini. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment