Wednesday 10 December 2014

UM gantung pengajian, denda aktivis pelajar



Universiti Malaya (UM) hari ini menggantung pengajian bekas presiden persatuan pelajar, Fahmi Zainol selama dua semester dan didenda RM600.

Dia didakwa antara lain menganjurkan ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus tanpa kebenaran universiti itu.

Fahmi adalah antara dua daripada lapan pelajar yang menghadiri pendengaran tatertib hari ini, yang digantung pengajian.

Pelajar Safwan Shamsudin digantung pengajian selama satu semester berkuatkuasa serta merta, didenda dan diberi amaran, kata Fahmi di laman Facebooknya.

Empat yang lainnya diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang.

Khairol Najib pula merupakan satu-satunya aktivis yang digelar UM8 yang dilepaskan dengan hanya diberi amaran.

Sementara itu, Abraham Au pula didapati tidak bersalah.

Fahmi sebelum ini disoal siasat oleh tiga orang anggota yang diketuai Profesor Dr Zanariah Abdullah bermula jam 9.20 pagi tadi sehingga kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Beliau menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Kaedah-kaedah Tatatertib UM 1999 berhubung himpunan di UM pada 27 Oktober lalu.

Keputusan dijangka malam

Menurutnya, dalam pendengaran pagi ini beliau ditunjukkan beberapa keratan akhbar arus perdana tentang himpunan itu.

Dakwanya pihak universiti turut mengemukakan beberapa keping gambar dari pihak keselamatan berhubung kejadian malam itu.

Namun, empat orang pegawai keselamatan yang menjadi saksi tidak mengakui gambar tersebut dirakam mereka.

"Mereka (seorang demi seorang) cakap bukan saya bukan saya.

"Masing-masing tidak mengaku dan cuma cakap ada masa kami akan panggil orang yang ambil gambar itu," katanya.

Fahmi adalah salah seorang daripada lapan mahasiswa UM yang dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Pendengaran bersambung semula pada sebelah petang petang dan Safwan Shamsuddin, 22, pengerusi Pro-Mahasiswa akan dipanggil membela diri. (Malaysiakini)
 

No comments:

Post a Comment