Monday 5 January 2015

Apa polis beritahu FBI tentang geng 14K?



Sejak 2008 lagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tiga orang rakyat Malaysia sebagai anggota kumpulan kongsi gelap 14K, sebuah entiti jenayah terancang rentas negara.

Mereka juga mendapati bahawa 14K beroperasi di Malaysia, dengan pelbagai aktiviti daripada perjudian haram, penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Ini antara kandungan dalam dokumen dalaman Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) yang diperoleh Malaysiakini.

Dokumen itu diserahkan kepada bukti di mahkamah AS dalam kes melibatkan Paul Phua Wei Seng yang didakwa seorang raja judi.

Phua menjadi salah seorang daripada tiga nama itu, menurut atase FBI di Kuala Lumpur, seperti dinyatakan dalam dokumen itu,

Pihak pendakwaan AS, yang percaya Phua anggota kumpulan itu, mengenakan pertuduhan perjudian haram kepadanya.

Phua menjadi perhatian selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menulis surat bertarikh 18 Disember 2014 kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano dengan mengatakan Phua bukan anggota 14K.

Zahid juga mendakwa bahawa Phua membantu Malaysia dalam perkara melibatkan keselamatan awam dan berharap dia dapat pulang ke negara ini.

Ia dilihat bertentangan dengan apa yang telah dimaklumkan oleh polis Malaysia kepada FBI pada 11 Jun 2008.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan Zahid sebagai enggan mengulas perkara itu ketika ditanya pemberita di Putrajaya semalam dan  beliau akan membuat sidang media berkaitan perkara itu pada masa lain.

Manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (atas) ketika ditanya Malaysiakini juga enggan mengulas berhubung dakwaan polis membuat silap dalam laporannya berkaitan warganegara Malaysia itu, yang didakwa sebahagian daripada jaringan kongsi gelap antarabangsa.

Ini kerana, kata Khalid, kes itu sedang didengar di mahkamah AS. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment