Sunday 11 January 2015

KEMALANGAN MEMBABITKAN 6 KENDERAAN DI JALAN BELURAN-SANDAKAN


OLEH: SHAIMON S JUMADI



Datuk Haji Zakaria (bertopi putih) berjumpa dengan pemandu-pemandu lain selepas kemalangan itu berlaku.

SANDAKAN : Kenderaan yang dinaiki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Haji Zakaria Haji Mohd Edris telah terlibat dalam satu kemalangan di Batu 34 Jalan Beluran-Sandakan pada hari Isnin ketika beliau serta rombongan dalam perjalanan pulang dari  melawat dua kampung yang dilanda banjir kilat.


Kemalangan itu berlaku lebih kurang jam 2.30 petang apabila sebuah lori tanker minyak yang datang dari arah bandar Sandakan terbabas ketika turun bukit lalu terlanggar lima buah kenderaan lain yang berada dari arah bertentangan termasuk kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Zakaria.


Lokasi kemalangan yang membabitkan  enam buah kenderaan termasuk kenderaan yang dinaiki Datuk Haji Zakaria Haji Mohd Edris di Batu 34 Jalan Beluran-Sandakan pada hari Isnin

Zakaria serta isteri beliau, Datin Hajah Raisah Jubar , Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Gum Gum Kamal M. Said dan seorang lagi staf Pejabat PPM DUN Gum Gum tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.  

Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) DUN kawasan Gum Gum Rosly Aziz yang berada dalam sebuah kenderaan lain juga tidak mengalami kecederaan.

Pemandu lori tanker minyak itu yang terbabas itu luka di bahagian muka, kepala serta badan dan telah dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Daerah Beluran untuk rawatan. Seorang lagi pemandu lori tanker minyak yang lain pula mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan hujan yang turun pada pagi Isnin itu telah mengakibatkan permukaan jalanraya di kawasan tersebut  basah serta licin.

Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri  dan rombongan sedang dalam perjalanan pulang setelah mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Jaya Bakti yang dilanda banjir kilat pada hari Ahad.

Beliau telah berjumpa dengan para penduduk dan menasihati mereka supaya sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.

Zakaria  turut meminta penduduk kerap mendengar laporan kaji cuaca terkini melalui media dan bersedia untuk berpindah jikalau diarah oleh pihak berkuasa apabila berlaku banjir di tempat-tempat mereka.


Banjir kilat yang melanda kedua-dua kampung berkenaan telah pulih semula selepas air banjir surut pada hari Isnin.

No comments:

Post a Comment