Tuesday 20 January 2015

PENDIDIKAN TUNJANG PEMBANGUNAN SESEBUAH NEGARA, KATA MUSA


OLEH: SHAIMON S JUMADI



SANDAKAN : Ketua Mentari Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kecemerlangan anak-anak untuk melahirkan modal insan yang berkualiti sebagaimana harapan negara; penekanan lebih terhadap program melibatkan pendidikan.


Katanya, memandangkan pendidikan merupakan tunjang pembangunan sesebuah negara apatah lagi Wawasan 2020 yang dirancang baik tentu memerlukan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berdaya saing.

Beliau berkata, ibu bapa sebagai ketua dalam institusi kekeluargaan hendaklah sentiasa menjalin kerjasama yang erat dengan warga pendidik khususnya guru-guru kerana kecemerlangan pelajar didorong apabila mereka saling berganding bahu untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Katanya, di pihak kerajaan usaha memartabatkan pendidikan menjadi agenda utama memandangkan perlunya tumpuan kepada generasi yang merupakan aset tidak ternilai kepada negara itu.

"Kita sentiasa membantu pembelajaran anak-anak kerana untuk membentuk modal insan yang berjaya maka perlunya perhatian agar apabila mereka besar nanti akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

"Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa membantu agar program-program melibatkan pendidikan terlaksana dengan jayanya kerana kemajuan sesebuah negara adalah hasil komitmen kepada aspek pendidikan.

"Salah satu usaha murni pihak kerajaan adalah menerusi program bantuan kepada sekolah-sekolah seperti menyalurkan dana termasuklah pelbagai bantuan persekolahan kepada murid-murid.

"Semua ini adalah bagi memacu pembangunan pendidikan di negeri ini. Sebab itu, apa jua program yang dianjurkan di sekolah-sekolah, saya tidak jemu untuk datang kerana inilah peluang saya untuk berjumpa dengan warga pendidik dan ibu bapa.

"Walaupun sesibuk mana pun dengan tugas seharian, kita mesti peka dengan soal pembelajaran berikutan ia penting kepada bangsa, agama dan negara," jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Program Kembali Ke Sekolah di Dewan Terbuka, Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting Charles O Pang, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Ir. James Wong, Pegawai Pendidikan Sandakan Sh. Mahada Sh. Attar, Pengerusi Pelaksana Program merangkap Bendahari Umno Libaran Haji Salzo Asa dan Guru Besar SK Merpati Pn Aminah Hj Ahmad serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati, Frinco @ Firdaus Abdullah.

Pada majlis itu, seramai 200 murid-murid di SK Merpati telah menerima sumbangan berupa beg sekolah selain bantuan persekolahan yang disampaikan oleh Ketua Menteri.

Majlis juga menyaksikan penyampaian anugerah kepada murid-murid cemerlang dalan peperiksaan UPSR 2014.  

Mengulas lanjut, Ketua Menteri selaku Adun Sungai Sibuga dan Ketua Umno Libaran berkata usaha jangka panjang kerajaan ke arah memacu pendidikan negeri dengan pembinaan Hab Pendidikan Sandakan di Batu 10 yang telah pun beroperasi menerusi pembukaan institusi-institusi pengajian tinggi di situ.

Menurutnya, hab pendidikan ini akan memberi peluang kepada belia dan beliawanis terutamanya sekitar daerah Sandakan untuk belajar tanpa pergi lebih jauh.

"Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini yang sudah pasti meringankan beban ibu bapa apabila menghantar anak-anak ke sesebuah institusi kerana mereka tidak perlu lagi pergi jauh sebaliknya boleh menghantar ke hab pendidikan itu yang menyediakan pelbagai jurusan pengajian," katanya.

Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita beliau turut merakamkan penghargaan kepada Biro Pendidikan Umno Libaran diketuai Haji Salzo atas usaha dan inisiatif melaksanakan program tersebut.

Katanya, program seumpama ini penting memandangkan selari dengan komitmen kerajaan dalam memartabatkan program pendidikan negara agar generasi hari ini terus cemerlang dalam pembelajaran mereka.


Dalam pada itu, Musa juga meluluskan peruntukan bagi membaik-pulih sistem pendawaian dan dinding di dewan terbuka selain meluluskan permohonan sebanyak 40 kerusi untuk kemudahan sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment