Thursday 5 March 2015

Erti perkahwinan dan kebahagiaan


Oleh : Meor Yusof Aziddin



Ada kawan saya yang belum berkahwin, ada yang beranak pinak, ada bergelar duda. Bagi yang belum kahwin, kalau mereka bertanya kepada saya, jika lebih selesa dengan kehidupan bujang, teruskanlah tapi kalau suka cabaran dalam perkahwinan, berkahwinlah.

Kita boleh memilih menjadi seperti Jesus yang tidak berkahwin daripada segi konsepnya. Juga kita boleh memilih untuk menjadi seperti Muhammad yang berkahwin dan beranak pinak. Itu pilihan kita sendiri.


Perkahwinan umpama kita mendalami sebuah lautan dan sifatnya. Ada ombak, ada tenang, ada ribut dan segala macam sifat yang terkandung di dalamnya. Ini semua akan kita lalui jika kita ingin merasa hidup berumahtangga.


Takkan kita hendak lihat permukaannya saja? Kita perlu menyelam ke dasarnya mencari dan mengenal segala apa macam bentuk keindahan mahupun sebaliknya untuk kita gaulkan menjadi sebuah makna yang namanya 'bahagia'.

Tidak ada perkahwinan yang tenang dan mendatar. Kalau ada, pasti ada sesuatu yang tidak kena di situ.

Setiap pasangan itu pada waktu permulaan titik kenal, biasanya mereka akan cuba menjadikan dua hati itu menjadi satu. Percubaan yang dirasakan berjaya itu biasanya sewaktu mereka bercinta dan mula mengenal hati budi masing-masing.

Waktu bercinta ni segalanya di awangan dan kayangan. Kita akan berada di zon yang luar kebiasaannya. Jadi biasanya sewaktu bercinta panorama akan menjadi lebih indah beratus kali ganda daripada biasanya. Bak kata pujangga, ke lautan api pun kita sanggup redah atau belahlah dada, lihat isinya.

Apabila melepasi fasa 'percintaan', maka bersatulah kita untuk menjadi pasangan suami isteri dan kita pun kembalilah kepada kenyataan sebuah perkahwinan yang lebih realistik sifatnya. Di sini rupanya proses mengenal dan berkongsi itu baru nak bermula dan ia tidaklah semudah yang kita gambarkan.

Di sinilah kita akan gaulkan makna suka mahupun benci menjadi satu makna yang namanya 'bahagia'. Ia melingkupi segalanya, yang paling penting tanggungjawab kita kepada pasangan dan anak kita.

Kita mula berfikir macam mana hendak cari duit untuk menyara kehidupan. Apabila sudah beranak pinak pula bertambah lagilah tanggungjawab kita. Kalau kita fikir ini satu beban yang akan kita tanggung, maknanya akan ada masalahlah di situ.

Dan apabila keperluan hidup kita semakin tinggi dengan kos sara hidup dan sebagainya, kita cuba berusaha mengukuhkan tiang layar agar kemudi kita masih dalam landasan yang sepatutnya.

Kita hidup di dunia ini berdasarkan kehendak dan nafsu. Kehendak dan cita rasa setiap manusia itu mungkin berbeza walaupun mereka itu suami isteri. Ini kerana acuan dan kefahaman kita dalam mentafsirkan makna kehidupan dan sifatnya itu sendiri, sebelum saling mengenali.

Kita tidak akan mampu mengubah atau menjadikan dua hati menjadi satu. Itu cuma cerita kartun yang hanya terdapat dalam komik. Kita juga tidak mampu mengajak pasangan kita ke dunia kita atau kita ke dunianya. Minat kita juga mungkin berbeza.

Kita hanya mampu untuk cuba memahami dan ada sikap saling menghormati, itu bagi saya sudah mencukupi dan jika itu masih ada dalam sebuah kehidupan berkeluarga, kita akan dapat mengecap nikmat bahagia.

Rumahtangga atau perkahwinan itu umpama masjid. Masjid umpama syurga yang elemen utama yang sepatutnya ada di situ adalah 'bahagia'. Bahagia itu ada di hati orang yang beriman. Kalau sebuah perkahwinan itu sudah tidak ada bahagianya lagi di situ, maknanya kita tinggal dalam neraka dan keserabutan.

Apabila kesesuaian sudah tidak ada lagi, perceraian jalan penyelesaian. Nilai sayang saja tidaklah mencukupi untuk hidup bersama andai nilai persefahaman sudah tidak ada lagi dalam ikatan perkahwinan. Inilah kenyataan hidup yang perlu kita hadap, sama ada kita suka mahupun tidak.

Perceraian memanglah suatu yang menyakitkan bagi mana-mana pasangan suami isteri. Apatah jika mereka mempunyai anak. Namun jika gagal dalam perkahwinan, ia bukanlah bermakna kita ini gagal secara keseluruhannya. Setiap manusia saya percaya mereka akan diberi peluang dan ruang untuk mereka bermuhasabah dan bercermin untuk siri hidup mereka yang seterusnya.

Pergaduhan dan pertelingkahan dalam sebuah keluarga juga bukanlah satu perkara yang baik, terutamanya untuk perkembangan emosi anak-anak kita. Kesannya mungkin akan mereka tanggung sehingga ke usia dewasa mereka.

Saya melihat perkara yang paling penting dalam sebuah perkahwinan itu adalah nilai 'kepercayaan'. Setiap pasangan itu perlu letakkan nilai percaya itu di tempat yang paling atas. Tidak perlu ada sikap syak dan wasangka kerana itu permainan iblis semata.

Selainnya perlu ada rasa hormat menghormati antara sesama pasangan itu. walau si suami hanya berkerjaya sebagai tukang kebun, si isteri perlu menghormati kerjaya suaminya, kerana itulah punca rezeki mereka sekeluarga.
Perkahwinan sesuatu yang murni, peliharalah ia. 


* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment