Tuesday 10 March 2015

IMPIAN MASYARAKAT KEMABONG DAPATKAN BALAI POLIS TERCAPAI- PJP SABAH


Oleh: DARREL MAT SALONG


PjP Sabah Datuk Jalaluddin b. Abdul Rahman diiringi Pegawai Daerah Madiyem Layappan, Datuk Dr Lucas dan Datuk Rubin Balang menandatangani buku pelawat sebagai simbolik perasmian Balai Polis Kemabong.


KEMABONG : Pesuruhjaya Polis (PjP) Sabah Datuk Jalaluddin b. Abdul Rahman menegaskan bahawa dengan kewujudan Balai Polis Kemabong sebagai memenuhi permintaan beberapa pihak khususnya masyarakat di sini meskipun rekod kadar jenayah yang terendah sekali di negeri ini.


Beliau berkata, memandangkan kawasan daerah kecil di sini kini semakin maju dan berkembang pesat dengan penduduknya kira-kira lebih 29,000 orang dengan keluasan hampir 12,000 meter persegi, sudah tentu keadaan sebegitu rupa memerlukan sebuah Balai Polis.

“Saya percaya bahawa mungkin juga ada kes-kes jenayah berlaku di kawasan pendalaman perkampungan tetapi mereka malas nak buat aduan kerana jaraknya jauh dan menyukarkan mereka untuk perjalanan berulang alik, maka masalah mereka terbiar begitu sahaja.

“Bagaimanapun, kita kena menimbang juga persepsi masyarakat terhadap tanggung jawab PDRM walaupun indeks jenayah sekitar tahun 2013 hanya satu kes dibawah Seksyen 376, tahun 2014 ada dua kes dibawah Seksyen 324 dan Seksyen 379A, manakala tahun ini (2015) masih kosong,” katanya ketika merasmikan Balai Polis baru Kemabong pada Sabtu.

Turut hadir di majlis itu, Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Senator Datuk Dr Lucas Umbul, Pegawai Daerah Madiyem Layappan, ADO Jasli Tindi, Penolong Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Sami Jiman, Ketua Polis Daerah DSP Mohd Firdaus Abdullah, para pegawai kanan PDRM, para pemimpin masyarakat tempatan dan para Kapitan Cina.


Datuk Jalaludin membaca watikah peristiharan Balai Polis Kemabong bermula.

Katanya lagi, selain memenuhi janjinya kepada masyarakat di sini ketika program bersama masyarakat di sini pada 29.11.2014 untuk mendapatkan sebuah Balai Polis tetapi juga sebagai jawapan kepada permintaan wakil rakyat disini Datuk Rubin Balang dan Datuk Raime Unggi yang dibuat mereka sebelum ini.

Justeru, PjP Sabah Datuk Jalaluddin turut mengucapkan terima kasih di atas daya usaha kerajaan negeri meminjamkan bangunan bekas mini Urusetia Pejabat Daerah Kecil Kemabong tanpa dikenakan apa-apa bayaran.

Terdahulu, Pegawai Daerah Madiyem Layappan mengucapkan terima kasih kepada Adun Kemabong Datuk Rubin Balang kerana inisiatifnya mengajukan permohonan untuk mendapatkan kelulusan pengwujudan Balai Polis Kemabong daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sesungguhnya, beliau telah tegaskan, selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan di daerah ini meminta masyarakat di sini agar turut bekerjasama menjaga keselamatan dan tidak seharusnya meletakkan dibahu pihak PDRM untuk menjaga keselamatan mereka.

Sebaliknya, para pemimpin di peringkat kampung harus menasihati penduduk mereka supaya patuh kepada arahan dan peraturan polis dan jangan biarkan undang-undang itu dilanggari kerana melanggar undang-undang merupakan satu kesalahan yang serius.

Tambahnya, para Ketua Kampyung juga sering diingatkan kepada mereka sebelum ini apabila ada kes-kes rogol di peringkat kampung supaya perkara ini jangan dianggap terlalu kecil tetapi melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan kerana Ketua Kampung tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikannya mengikut Ordinan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Seksyen 6 1992/1995. 

No comments:

Post a Comment