Tuesday 5 May 2015

Sugut Berpotensi Hub Ekonomi Bantu Penduduk Tempatan



Oleh: Shaimon S Jumadi
ssjumadi@gmail.com

PENGHARGAAN ... Doing (dua kiri) menyampaikan cenderahati kenangan kepada James pada majlis tersebut 

BELURAN: Usaha membantu rakyat luar bandar sedang giat dilaksanakan dengan mempelbagaikan pembangunan merangkumi '1 Mukim 1 Bangunan' yang melibatkan beberapa kawasan di Sugut yang berpontensi menjadi hub ekonomi sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.


Wakil rakyatnya iaitu Datuk James Ratib berkata pihak Sedcovest Holdings Sdn Bhd sudah pun melakukan lawatan ke empat mukim bagi mengenal pasti tapak pembinaan bangunan kedai yang dicadangkan itu.

Menurut beliau, apabila perancangan ini menjadi kenyataan kelak sudah pasti sektor ekonomi Sugut akan berkembang berikutan peluang untuk penduduk kampung menjalankan perniagaan melalui usaha murni anak syarikat kerajaan itu.

Beliau berkata, pelaksanaan kerangka pembangunannya dibuat secara terancang memandangkan beberapa rundingan antara Sedcovest dengan penduduk serta syarikat perladangan sebelum memulakan projek tersebut.

Katanya, pembinaan bangunan kedai Sedcovest ini adalah melibatkan mukim-mukim seperti di Lingkabau, Tangkarason dan Sungai-Sungai yang dikenal pasti sebagai lokasi strategik dalam usaha mempelbagaikan sumber ekonomi masyarakat.

"Saya selaku Pengerusi Sedcovest Holdings akan memberi keutamaan kepada usaha ini dengan meluluskan cadangan pembinaan bangunan rumah-rumah kedai Sedcovest di kawasan mukim tersebut.

"Ia bagi memberikan peluang untuk penduduk kampung yang berminat berniaga untuk menjalankan perniagaan yang dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi masing-masing.

"Inilah antara agenda saya yang mahu meningkatkan taraf hidup penduduk Sugut agar tidak ketinggalan jauh daripada sektor ekonomi yang semakin berkembang pesat.

"Oleh hal demikian, saya merancang pelbagai strategik untuk memastikan Sugut terus terkeluar dari kepompong kemiskinan kerana kita mahu rakyat membangun dan tidak lagi ada  yang ketinggalan.

"Sebab itu, baru-baru lepas saya telah membawa serombongan pegawai Sedcovest bagi meninjau dan melawat tapak pembinaan bangunan rumah kedai yang dicadangkan sebagai pusat sehenti itu.

"Saya yakin matlamat menjadikan '1 Mukim 1 Bangunan' akan membantu mewujudkan kembali pekan baru di Sugut yang dulunya malap tetapi melalui usaha dan perancangan yang kita lakukan itu, ianya pasti meriah balik.

"Contohnya, Kampung Sungai-Sungai terkenal sebagai pekan tertua di Sugut kerana ianya sudah pun wujud sebelum kedatangan pihak British pada suatu ketika dahulu.

"Namun, semakin hari semakin malap pula jika dibandingkan seperti mukim-mukim lain yang sedang membangun pesat," jelasnya panjang lebar.

James menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno Zon Sungai-Sungai, Sugut di Mini Dewan, Kampung Sungai-Sungai, dekat sini, pada Ahad lepas.

Hadir sama Pemangku Penolong Pegawai Daerah Pekan Kecil Paitan, Joe Miling; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang; Pengerusi Pelaksana merangkap Pemaju Masyarakat Kg Sungai-Sungai, Doing @ Asmadun Hassim; Setiausaha Bahagian Beluran, Mohd Omar Amsulong; mantan Ahli Parlimen Beluran, Asmat Nungka, mantan Setiausaha Bahagian yang juga ahli jawatankuasa Umno Beluran iaitu Zikiri Ajad dan Naib Ketua Pemuda Umno Beluran, Jelani serta Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd Fazli Zikiri termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Ketua Umno Bahagian Beluran memberitahu tanah seluas 25 ekar akan dibangunkan di Mukim Sungai-Sungai bagi tujuan mewujudkan pekan baru di kawasan tersebut.

Jelasnya, perundingan antara penduduk kampung dengan pihak syarikat perladangan akan dibuat dan difahamkan bahawa syarikat terbabit telah pun setuju untuk membuka tanah tetapi bersyarat.

"Pihak syarikat ladang sudah bersetuju tetapi mereka minta orang kampung yang akan mengendalikan proses pecah geran. 

"Kita tahu ia bukannya sikit tentu menelan belanja yang besar juga ... namun, biarlah saya yang membantu secara berperingkat-peringkat demi merealisasikan matlamat mewujudkan Pekan Baru Sungai-Sungai menjadi kenyataan nanti," ujarnya sambil menerima tepukan gemuruh dari penduduk ahli-ahli Umno mewakili 28 buah cawangan merangkumi Zon Sungai-Sungai itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) P.183 Beluran turut menekankan pentingnya pembinaan loji air di kawasan Sugut ekoran air sungai dan perigi yang tidak selamat lagi untuk diminum.

Ini katanya, sebahagian besar tanah ditanami pokok kelapa sawit yang sudah pasti bajanya mengalir ke sungai atau perigi sekali gus memberi kesan apabila diminum penduduk.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebuah loji air akan dibina di Mukim Lingkabau dan Mukim Sungai-Sungai bagi mengatasi masalah air yang sering dihadapi selama ini.

"Saya percaya masalah air akan dapat diatasi apabila bermulanya pembinaan loji ini nanti. Ini kerana, saya nampak macam tidak selamat air sungai atau perigi jika diminum kerana sekeliling sudah bertanam kelapa sawit.

"Oleh sebab itu, saya sering mengutarakan agar perlunya pembinaan loji air termasuklah solar hibrid bagi membolehkan rakyat menikmati bekalan elektrik.

"Semua perancangan ini ada dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) ... saya harap penduduk bersabar dengan usaha-usaha ini yang lambat-laun akan sampai juga ke kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, James berkata mengadakan mesyuarat tahunan cawangan Umno adalah merupakan suatu kewajipan dan kehendak perlembagaan parti namun yang lebih penting ianya memberi peluang untuk ahli menunjukkan komitmen seterusnya menyumbang buah fikiran terhadap perjuangan parti.

Beliau meminta ahli-ahli Umno cawangan agar bersatu padu dan menjalin semangat juang tinggi bagi memastikan kekuatan parti terus unggul dan tidak mudah digugat pihak pembangkang.

"Yang penting juga, ahli-ahli Umno cawangan perlu sentiasa memikirkan kekuatan parti dengan memastikan penambahan keahlian kerana ahli yang ramai menjamin kekuatan parti keramat Umno ini," tambahnya.

No comments:

Post a Comment